KUCHING: Kemeriahan sambutan Maulidur Rasul JKKK Kampung Masjid di sini menjadi kelam kabut apabila berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini pada Ahad.

Rumah tersebut pula terletak berjiran dengan lokasi sambutan menyebabkan semua yang terlibat keluar melihat kejadian.

Turut menyaksikan insiden tersebut ialah mantan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusuf, yang hadir sebagai tetamu kenamaan.

Beliau turut membantu menenangkan situasi hingga pihak bomba tiba tidak lama kemudian.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimansah ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam
9.13 pagi.

"Dua jentera dengan kekuatan 19 anggota kemudian segera kita atur gerak ke lokasi dari Balai Padungan dan Batu Lintang.

"Kerja-kerja pemadaman masih dilakukan dan siasatan punca kejadian akan dilakukan selepas itu.

Setakat maklumat awal, katanya, rumah berstruktur tidak kekal itu didiami 11 penghuni.

"Namun semua penghuni berjaya menyelamatkan diri," katanya.