KUALA LUMPUR: Etika dan integriti adalah penting bagi amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang baik di semua tempat kerja, kata ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau yang memetik kenyataan Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM) berkata usaha menghapuskan penipuan adalah aspek penting dalam pengurusan keselamatan mampan, terutamanya dalam menguruskan OSH, kemalangan, atau kejadian nyaris kemalangan di tempat kerja.

"Rasuah dalam apa jua bentuk tidak boleh dibiarkan kerana ia memiskinkan negara, menyusahkan rakyat, dan membawa kepada kemerosotan ekonomi.

"Jika melibatkan pengamal dan agensi OSH, ia boleh mengakibatkan kemalangan yang boleh membawa kepada kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata beberapa contoh amalan penipuan yang boleh memberi kesan kepada keselamatan pekerjaan termasuk dalam perolehan peralatan pelindung diri (PPE) berkualiti rendah atau peralatan lain, yang meningkatkan risiko kecederaan kepada pekerja.

Beliau berkata penghasilan rekod yang tidak tepat pula boleh membawa kepada penilaian yang salah terhadap situasi berbahaya atau ciri-ciri produk, atau mengakibatkan sokongan sewajarnya tidak dapat disalurkan, sedangkan ia sangat diperlukan bagi memperbaiki persekitaran berisiko.

Lee menambah bahawa mengambil jalan pintas dan tidak mempedulikan prosedur operasi standard (SOP) boleh membawa kepada amalan dan tindakan yang tidak selamat.

"Konflik kepentingan, memberi ganjaran kontrak kepada vendor yang kurang cekap, boleh mejejaskan keselamatan dan membuatkan pekerja yang mengendalikan bahan berbahaya terdedah tanpa perlindungan yang mencukupi," katanya.

-- BERNAMA