Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mengekang sekurang-kurangnya lima percubaan menculik yang telah dirancang pihak penjenayah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sepanjang tempoh lima bulan yang lepas.

Komander ESSCOM DCP Datuk Abdul Rashid Harun berkata ini merupakan kejayaan terbesar ESSCOM sejak penstrukuran semula entiti itu pada 15 Julai lepas.

"Sejak penstrukturan semula ESSCOM hingga kini, tiada satu pun kes penculikan direkodkan dalam catatan kita. Tahniah saya ucapkan kepada semua warga ESSCOM," katanya.

Abdul Rashid berkata demikian ketika berucap pada majlis perbarisan persaraan bekas Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan ESSCOM DCP Datuk Ahmad Nadzer Nordin di perkarangan Pangkalan Polis Marin, dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Komander ESSCOM Brig Jen Subari Tomo, Ketua Komponen Laut ESSCOM Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi, Ketua Komponen Pusat Operasi Brig Jen Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail dan staf kanan ESSCOM.

Abdul Rashid berkata sejak memegang jawatan Komander ESSCOM, beliau telah mengalihkan tumpuan
dan keutamaan ESSCOM dari memerangi penculikan kepada membanteras penyeludupan.

"Kami percaya dan telahpun membuktikan dengan membanteras penyeludupan dapat mengekang akviti-aktiviti yang lain seperti pengedaran dadah, kemasukan pendatang tanpa izin dan aktiviti penculikan," katanya.

Beliau berkata bermula tahun depan, ESSCOM akan bertindak lebih agresif lagi dengan penambahan beberapa aset baru dan aset yang akan dibaikpulih.

"ESSCOM kini dalam perancangan untuk membaik pulih beberapa bot bagi membantu bot-bot sedia ada. Kita juga merancang untuk membuat perolehan beberapa buah enjin bagi membolehkan bot-bot yang terbiar beroperasi semula," katanya.

Bagi membolehkan anggota ESSCOM di pos-pos keselamatan beroperasi dengan lebih efektif, ESSCOM telah merancang untuk membuat perolehan beberapa kenderan pacuan empat roda selain membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur, katanya.

"Pertahanan di pulau-pulau juga akan diperkasakan, di mana ESSCOM dalam perancangan untuk menempatkan radar, kamera, alat penggera dan beberapa peralatan lain.

"Semua ini kita lakukan demi kebaikan anggota kita yang bekerja keras menjaga keselamatan dan ketenteraman di ESSZONE," katanya.

Sementara itu, Ahmad Nadzer, dalam ucapan perpisahannya, berkata beliau amat bertuah kerana terpilih untuk berkhidmat dengan ESSCOM yang penuh dengan cabaran.

Beliau yang akan bersara wajib mulai Sabtu ini berkata pewujudan ESSCOM merupakan langkah yang tepat untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di ESSZONE, dan ia wajar disokong oleh semua pihak.

Menurut Ahmad Nadzer, ESSCOM yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bahagian awam merupakan 'role model' agensi kerajaan Persekutuan yang benar-benar mempraktikan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy).

Beliau berharap tahap kerjasama yang tinggi itu dapat diteruskan bagi memastikan Sabah akan terus berada dalam keadaan aman, damai dan sejahtera.