Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku pada 10.50 malam ketika pasukan operasi melakukan rondaan di Sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
"Pasukan operasi mengesan sebuah bot dinaiki lima lelaki menyeberangi Sungai Golok ke arah negara ini dengan empat daripadanya berjaya ditahan di tebing sungai itu di sebelah Malaysia manakala seorang lagi lelaki dipercayai tekong bot bagaimanapun dapat melarikan diri ke arah Thailand," menurut kenyataan itu.
TDM memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka merupakan rakyat Pakistan yang memasuki Malaysia secara tidak sah bertujuan mencari pekerjaan dan mendakwa telah membayar sejumlah wang kepada ejen di Thailand yang menguruskan proses kemasukan ke negara ini.
"Sekiranya berjaya, ejen di Malaysia akan bertindak sebagai transporter untuk menghantar mereka ke selatan tanah air bagi mendapatkan pekerjaan," menurut kenyataan itu.
TDM memaklumkan turut ditemukan hasil penahanan itu ialah telefon bimbit, beberapa keping wang kertas dalam mata wang asing serta barangan peribadi dianggarkan berjumlah RM7,555 dan kesemua warga asing itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.
--BERNAMA
