Empat maut manakala seorang cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan Proton Wira dan sebuah bas awam di Jalan Abu Bakar Lebuhraya Sultan Iskandar, awal pagi ini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Rafie Ahmad Sareng berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.31 pagi dan lapan anggota beserta jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin digegaskan ke lokasi.

Katanya, setibanya anggota di lokasi, terdapat empat mangsa lelaki iaitu dua tercampak dari kenderaan dan dua lagi berada dalam kenderaan.

"Empat mangsa lelaki yang menaiki kereta Proton disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Manakala lagi seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan parah.

"Mangsa yang maut dikenali sebagai Liew Hong Jun, 18 tahun, Kenny Law Chin Shyuan, 16 tahun, Ng Qi En, 18 tahun, dan Danny Law Yen Pin, 18 tahun.

"Manakala mangsa yang cedera parah tidak diketahui maklumat," katanya dalam satu kenyataan.



Foto ihsan JBPM

Menurut Rafie, mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

Katanya, bas tersebut ketika itu membawa beberapa penumpang namun mereka telah dialihkan sebelum ketibaan pasukan bomba.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut," katanya.

Foto ihsan JBPM