IPOH: Polis menahan empat lelaki tempatan disyaki terbabit dengan aktiviti mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan Kampung Temin, Sungai Siput (U) hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 26 hingga 45 tahun itu diberkas hasil maklumat orang awam jam 5.30 pagi tadi.

" Hasil pemeriksaan awal juga berjaya menemukan empat keratan kabel dan beberapa peralatan digunakan untuk mencuri kabel serta sebuah kereta jenis Proton Saga FLX," klatanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan kini direman empat hari bermula hari ini sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952..

Menurutnya sepanjang tempoh Januari lalu hingga sekarang, 17 suspek termasuk seorang warga asing ditangkap kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mencuri kabel di daerah Sungai Siput.

-- BERNAMA