BALIK PULAU: Seorang warga emas antara empat individu ditahan dipercayai keldai akaun kepada beberapa sindiket penipuan hingga menyebabkan kerugian RM161,856.76 dalam kejadian berasingan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 36 hingga 75 tahun itu ditahan berasingan di beberapa lokasi di sekitar Pulau Pinang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Barat Daya, semalam.

Beliau berkata dalam kes pertama, polis menahan wanita berusia 75 tahun dipercayai keldai akaun kepada sindiket penipuan melalui panggilan telefon iaitu menyamar sebagai pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pegawai polis.

"Berdasarkan laporan polis, mangsa telah melakukan lapan transaksi dalam talian ke tiga akaun bank berbeza termasuk milik warga emas tersebut membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM88,900," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata dalam kes kedua, seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan membabitkan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.

Kamarul Rizal berkata mangsa telah membuat 16 transaksi dalam talian ke akaun bank berbeza termasuk lelaki yang ditahan itu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM42,956.76 manakala kes ketiga pula membabitkan penahanan lelaki berusia 43 tahun dipercayai keldai akaun kepada sindiket penipuan melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia dan pegawai polis.

"Mangsa seorang wanita berusia 37 tahun dan bekerja sebagai kerani telah memberikan nama pengguna dan kata laluan perbankannya kepada sindiket dan setelah membuat semakan mendapati duitnya dalam bank telah berkurangan sebanyak RM25,000," katanya.

Kes berikutnya pula membabitkan penahanan seorang wanita berusia 36 tahun kerana memperdaya mangsa dalam urusan belian kereta secara dalam talian di Bayan Lepas dan dia telah membuat beberapa transaksi ke dalam akaun bank suspek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,000, katanya.

Menurut Kamarul Rizal, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaaan.

-- BERNAMA