SIK: Sebanyak empat buah kampung di daerah Sik terjejas selepas dilanda banjir kilat pada Sabtu.

Lokasi terbabit ialah Kampung Lalang, Kampung Lubuk Tualang, Kampung Bendang Man, dan Kampung Jerai.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, hujan lebat bermula 8.30 pagi berlarutan lebih satu jam di hulu Mukim Sik mengakibatkan kawasan penduduk dinaiki air dengan cepat hingga 0.9 meter.

“Hujan lebat lebih sejam di daerah ini hari ini, menyebabkan empat kampung dilanda banjir kilat.

"Berikutan itu, anggota melakukan pemantauan paras air di Sungai Chepir pada 9.30 pagi dan mendapati beberapa kampung sudah pun dinaiki air.

"Sungai Charuk Tebal di Kampung Lalang dan Kampung Lubuk Tualang berada pada paras bahaya, namun pada 10 pagi ai dilihat mulai surut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Haisul Aishah berkata, pemantauan Sungai Chepir di Kampung Bendang Man turut menunjukkan trend penurunan.

"Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka dan pemantauan masih dilakukan demi keselamatan penduduk," katanya.