KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan 3.4 peratus pada suku tahun keempat 2023, berbanding 3.3 peratus pada suku tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sederhana 3.8 peratus pada 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 8.7 peratus pada 2022, katanya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perkhidmatan menerajui prestasi ekonomi pada suku tahun ini dengan semua sektor lain mencatat pertumbuhan positif.

"Sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.7 peratus pada suku tahun keempat 2023 disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, sektor perlombongan dan pengkuarian berkembang 3.7 peratus pada suku keempat 2023, didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti terutamanya gas asli dan minyak mentah serta kondensat.

Sektor pembinaan pula menyederhana kepada 2.5 peratus pada suku dalam tinjauan berbanding 7.2 peratus pada suku sebelum itu manakala sektor pertanian meningkat kepada 1.2 peratus berbanding 0.8 peratus pada suku sebelum itu hasil peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit, katanya.

Sementara itu, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan marginal 0.1 peratus disokong oleh pembuatan berasaskan produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, pemprosesan makanan, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka.

Bagaimanapun, produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik merosot pada suku keempat 2023.

Sektor perkhidmatan pula mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada 2023 berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 10.9 peratus pada 2022.

Sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan marginal 0.8 peratus pada 2023 disebabkan oleh permintaan luar yang lebih lemah di pelbagai negara.

Sehubungan itu, prestasi perdagangan Malaysia juga menunjukkan aliran menurun pada 2023, seiring dengan penyusutan eksport 8.0 peratus dengan penurunan sebanyak 6.4 peratus dalam aktiviti import.

"Selain itu, sektor pembinaan meningkat daripada 5.0 peratus pada 2022 kepada 5.8 peratus pada 2023. Sektor perlombongan dan pengkuarian juga meningkat sebanyak 1.0 peratus dan sektor pertanian merekodkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus," katanya.

-- BERNAMA