MENJELANG tahun 2020, negara menyasarkan 35 peratus daripada sumber manusianya adalah pekerja berkemahiran. Pada masa kini, kita berada pada tahap 28 peratus, dan ia masih rendah berbanding negara maju. Kita tidak mahu terjerat di dalam keadaan yang dipanggil sebagai perangkap kemahiran atau skills trap.

Misalnya, seorang pemandu Grab akan sentiasa menjadi pemandu dan sukar untuk naik pangkat atau diberikan peluang untuk berperanan sebagai pengurus dalam syarikat yang sama atau di tempat lain. Ramai di antara mereka yang mempunyai ijazah tinggi dan berpengalaman dalam bidang lain.

Akibat daripada kurangnya peluang pekerjaan, golongan pekerja terpaksa memilih pekerjaan yang dikategorikan sebagai pekerjaan kemahiran rendah, sambil membuat ‘gig’ atau membuat beberapa kerja sambilan lain untuk menambah pendapatan.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada fenomena ini. Antaranya adalah faktor syarikat itu sendiri, terutamanya daripada sektor IKS, yang mempunyai insentif yang rendah untuk menawarkan peluang pekerjaan yang berkualiti. Insentif yang rendah ini disebabkan oleh jurang teknologi dan pengetahuan dalam menjana ekonomi bernilai tinggi.

Dengan ketiadaan penawaran kerja yang berkualiti, maka pekerja juga tidak mempunyai sebab untuk meningkatkan kemahiran mereka. Dengan pendapatan tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup, adalah amat sukar untuk pekerja mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengikuti kursus atau latihan bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Bagi majikan pula, mereka tidak dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan jika memiliki pekerja yang tidak berkemahiran. Majikan juga enggan membuat pelaburan dalam meningkatkan kualiti dan tahap kemahiran pekerja jika mendapati mereka kerap beralih atau melompat-lompat ke majikan lain dalam tempoh yang singkat, juga kerana kapasiti kewangan yang lemah.

Pihak majikan dan pekerja harus mengenal pasti titik pertikaian dan menyelesaikan isu melibatkan kedua-dua pihak. Pihak syarikat menilai semula strategi, model perniagaan dan pelaburan agar terlibat dalam rantaian ekonomi bernilai tinggi, manakala pekerja pula diberikan insentif untuk menjalani kursus-kursus pendek bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang-bidang yang diperlukan.

Ia termasuklah kemahiran asas yang merangkumi kemahiran interpersonal, kemahiran bernilai tinggi dalam konteks ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan teknologi termasuklah dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembelajaran sepanjang hayat, pengurusan projek dan risiko, kemahiran menyelesaikan masalah dan kerja berpasukan.

Sektor pendidikan, terutamanya sama ada institusi latihan kemahiran atau penyedia latihan dalam talian telah menyediakan pelbagai peluang dan akses untuk rakyat, seiring dengan cabaran untuk merebut peluang pekerjaan yang berkualiti. Dengan mengikuti kursus-kursus kemahiran tertentu, pekerja boleh meningkatkan pendapatan sebanyak 20 peratus.

Kita tidak mahu melihat suatu krisis ekonomi-sosial yang akan memperlihatkan sebilangan besar rakyat di negara kita terjebak dalam perangkap kemahiran dan ini akan melambatkan proses pengindustrian, pertumbuhan ekonomi dan menyebabkan ketidaksamaan pendapatan rakyat serta pelbagai masalah sosial.


* Penulis adalah Pengasas dan CEO Planetmahir.com, platfom perkongsian kemahiran berbahasa Melayu, perunding latihan & penasihat koperat dalam ‘Knowledge Sharing’ dan ‘Mindset Generasi Millennial’. Beliau boleh dihubungi melalui ramzi@planetmahir.com.

** Artikel berikut adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.