Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA hari ini akan berlangsung mengikut jadual walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) menasihati parti itu menggugurkan usul pertama, kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata kesemua empat usul yang akan dibincang hari ini tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

"Semuanya dibuat mengikut perlembagaan parti dan tiada satu pun melanggar perlembagaan MCA. EGM esok akan membincangkan kesemua usul berkenaan," kata Dr Chua dalam sidang akhbar di Wisma MCA di sini pada Sabtu.

Usul pertama adalah untuk mencela timbalan presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai yang didakwa tidak menghormati keputusan Jawatankuasa Pusat menggantung Anggota Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang Datuk Tee Siew Keong kerana menerima pelantikan sebagai anggota exco oleh Sultan Johor.

Mengenai surat ROS yang dihantar ke ibu pejabat MCA pada Khamis, Dr Chua berkata oleh kerana surat itu berupa suatu nasihat, maka ia akan diambil kira sebagai satu nasihat.

Dr Chua berkata beliau telah menghantar sepucuk surat kepada ROS untuk memaklumkan bahawa EGM esok diadakan mengikut perlembagaan parti dan salinan surat itu dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri kelmarin.

Sementara itu, dalam satu lagi sidang akhbar di tempat sama, naib presiden parti Gan Ping Sieu menyifatkan surat ROS itu sebagai nasihat yang tidak dipinta.

"Kami perlu menegaskan bahawa perpaduan dalam MCA merupakan urusan parti, manakala resolusi berkenaan merupakan keputusan politik yang dibuat anggota perwakilan pusat, bukan isu perundangan yang perlu diputuskan ROS.

"Ia bukan arahan, hanya nasihat. MCA tidak memerlukan campur tangan terhadap hal ehwal parti kami. Kami amat yakin anggota perwakilan pusat kami memiliki kebijaksanaan untuk membuat keputusan demi kebaikan parti," katanya.

Gan juga berkata sudah tiba masanya MCA membina budaya politik yang lebih baik untuk parti itu.

"Kami tidak boleh berbalah secara terbuka dan terlibat dengan perang media. Ia tidak memberi sebarang manfaat, tetapi hanya memusnahkan parti," katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan di Wisma MCA, Liow berkata sebagai defendan, beliau telah mengambil langkah sewajarnya untuk berdepan dengan anggota perwakilan pada Ahad.

"Sekiranya usul yang dikemukakan menyalahi undang-undang dan perlembagaan, maka presiden perlu dipertanggungjawabkan," katanya sambil menambah bahawa beliau telah menyediakan sepucuk surat dalam bahasa Mandarin dan Inggeris untuk membela diri.

Surat berkenaan diedar kepada anggota perwakilan hari ini, katanya, sambil menunjukkan surat berkenaan kepada media.

Timbalan presiden MCA itu berkata beliau lebih bimbang untuk berdepan dengan anggota perwakilan kerana menyedari bahawa apabila bergiat dalam politik, beliau perlu mempertahankan kedudukan dan memberi penjelasan tentang apa jua isu.