WANGSA MAJU : Polis sedang memburu tiga individu termasuk dua lelaki warga asing yang dipercayai mengedarkan risalah agama Kristian secara terbuka di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video tular berdurasi 54 saat membabitkan kejadian itu, kira-kira pukul 10.19 malam, Isnin lalu 

Beliau memberitahu, kes itu masih lagi dalam siasatan polis.

"Kita siasat kes ini mengikut  Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kesalahan perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan atas sebab-sebab agama," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Mohamad Lazim  berkata, Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum 2 tahun dan maksimum lima tahun.

Dalam video, salah seorang suspek juga dilihat meminta videonya itu tidak dirakam.