NARATHIWAT: Penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, masih belum dibenarkan keluar dari Penjara Wilayah Narathiwat biarpun telah dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.


Ringkasan AI
  • Eda Ezrin, suami, dan empat rakan dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand.
  • Pembebasan ini disambut dengan tangisan syukur oleh ahli keluarga yang hadir di mahkamah.
  • Pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan dalam tempoh sebulan, dan keenam-enam tertuduh masih perlu berada di dalam penjara sementara menunggu keputusan rayuan.


Peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz berkata, pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam tempoh sebulan.

“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan untuk keluar dan perlu berada di dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

“Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya kepada pemberita.

Sinar Harian melaporkan penyanyi lagu "Bae Sobar Bae" itu bersama lima yang lain serta ahli keluarga mereka menangis sebaik sahaja Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand membebaskan mereka daripada pertuduhan. 

Kesemua ahli keluarga yang hadir masing-masing berpelukan dan menangis tanda syukur di atas pembebasan tersebut.

Sebelum itu, sepanjang berada di dalam mahkamah semasa hakim membacakan penghujahan kelihatan mulut Eda Ezrin tidak berhenti berzikir dan berdoa untuk dibebaskan.

Begitu juga dengan ahli keluarga yang menunggu keputusan dengan penuh debaran walaupun tidak memahami apa yang diperkatakan kerana sepanjang prosiding di mahkamah menggunakan bahasa Thailand.

Seorang penterjemah berada di hadapan keenam-enam tertuduh memainkan peranan menterjemah kembali apa yang dihujahkan oleh hakim.

Terdahulu, Eda Ezrin, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.

Eda Ezrin, suami dan empat rakannya didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada 14 Januari lalu.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah, namun tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok dekat sini.

Semasa prosiding perbicaraan pada 14 Februari lalu, Eda Ezrin memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa bahawa terdapat empat individu dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik masuk ke dalam biliknya sebelum polis melakukan serbuan.