Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukti kesungguhan kerajaan melakukan perubahan yang besar dan ketara di Kelantan dan negeri lain di pantai timur Semenanjung.

Perdana Menteri berkata ECRL akan mengubah landskap ekonomi dan kehidupan rakyat di Kelantan dan seluruh negeri pantai timur dalam pelbagai bidang.

"Kalau kita nak sesebuah wilayah itu maju kita kena hubungkan wilayah itu dengan seluruh tanah air kita.

Pengangkutan yang menghubungkan antara satu wilayah dengan wilayah lain akan membawa perubahan yang cukup ketara," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) peringkat Negeri Kelantan di Tunjong di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Pengarah Urusan Eksekutif China Communications Construction ECRL Sdn Bhd Bai Yinzhan.


Projek ECRL bernilai RM55 bilion sepanjang 688 kilometer itu menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Projek tersebut yang melibatkan 28 stesen menawarkan perkhidmatan keretapi penumpang dan kargo dijangka siap pada Jun 2024.

"Di Amerika Syarikat, kawasan sebelah barat membangun kerana adanya perhubungan kereta api, kawasan wild west atau kawasan koboi membangun seperti di California dan sebagainya kerana perintisnya adalah hubungan kereta api.

"Begitu juga tempat lain di dunia, hubungan rel yang efisien dan moden dan mampu digunakan serta boleh diharap manjadi punca suntikan kepada kemajuan di sesebuah wilayah," kata Perdana Menteri.

Najib berkata dalam konteks di Kelantan, kewujudan ECRL akan mempercepatkan perjalanan terutama dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.

"Kalau dahulu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu ambil masa lapan jam, tetapi apabila siap ECRL nanti dengan kelajuan 160 km sejam, perjalanan akan makan masa empat jam.

Musim perayaan pula makan masa 16 jam untuk sampai ke Kota Bharu, maka kita ada alternatif guna perkhidmatan ECRL, yang hanya makan masa empat jam sahaja," kata Najib.

Perdana Menteri berkata daripada aspek pekerjaan, adalah dijangka pada kemuncak projek itu secara langsung atau tidak langsung akan menyediakan 80,000 peluang pekerjaan dengan 70 peratus daripadanya untuk anak tempatan (rakyat Malaysia).

"Baru-baru ini kita telah melantik 237 perunding, kontraktor dan sub kontraktor anak tempatan dengan jumlah RM1.48 bilion kerja-kerja yang dilaksanakan, projek ini menjadi pemangkin perubahan dan kita telah buat kajian negeri-negeri pantai timur ini akan tumbuh ekonominya sebanyak 1.5 peratus lebih tinggi," katanya.

Beliau yakin kebimbangan terutama ibu bapa yang anak-anak mereka terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan akan lenyap berikutan adanya ECRL yang akan mendorong kemajuan pelbagai sektor ekonomi dan pelaburan.

Sehubungan itu, Najib membidas tindakan pihak tertentu yang mahu membatalkan projek ECRL yang sudah tentu akan merugikan rakyat Malaysia, khususnya pekerja, sub kontraktor dan pihak lain yang terlibat.

Perdana Menteri juga menegaskan pihaknya tidak menjual janji kepada rakyat sebaliknya telah melaksanakan, sedang melaksanakan atau akan dilaksanakan janji-janji tersebut.

"Pada zaman saya sahaja Kelantan diambil peduli walaupun negeri Kelantan, di bawah pembangkang saya senghoti (benar-benar) mengambil peduli berbanding dia tidak senghoti 22 tahun Kelantan kena dera," katanya.

-- BERNAMA