PELAKON dan pelawak, Ebby Yus akan muncul sebagai "jockey" jemputan bagi sesi jualan secara langsung Facebook Suara Anak Cokit (SAC).

Kemunculan pada Rabu 3 Jun ini melengkapkan edisi Preloved & Vintage Rock & Roll @ GarasiRepublic sempena minggu ketiga projek amal membantu 50 peniaga kecil komuniti SAC.

Ebby Yus yang pernah diwawancara secara langsung oleh SAC pada malam menjelang Aidilfitri menyatakan sokongan penuh pada SAC dalam usaha membantu peniaga kecil yang terjejas teruk kerana COVID-19.

"Tiga bulan tanpa pendapatan dan saya faham keadaan peniaga kecil di Chow Kit kerana hampir 30 tahun saya melihat survival mereka," katanya.

Ebby Yus yang tinggal di Jalan Abdul Rahman Idris, Kampung Bharu menganggap komuniti peniaga kecil Chow Kit sebagai keluarganya.

"Saya sokong projek SAC kerana peniaga sekarang berdepan kesusahan setelah tiga bulan tidak berniaga," katanya.

Siaran langsung Facebook SAC akan dipancarkan dari Garasi Republic selama lima jam dengan segmen Prelove, Adidas Vintaj, Koleksi Baju Band dan Jualan Kombo.

Selain itu pertama kali edisi jualan SAC akan memuatkan segmen jualan buku sebagai pengenalan.

Pengasas Bersama SAC, Zulkifli Mat memberitahu, siaran langsung Rock & Roll @ Garasi adalah siri "live" kesembilan sejak kempen membantu peniaga menjual secara online dilancarkan tiga hari menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

"Melalui lapan siri yang dijalankan di Gudang 5 & 6 Depot Gombak dan Garasi Republic, hasil jualan mencecah RM25,000," katanya.

Mengenai kolaborasi barangan vintaj dan bundle dengan penerbit buku Studio Anai-anai, Zulkifli menjelaskan pendirian SAC.

"Kami terbuka dan peka pada nasib semua peniaga kecil Melayu termasuk penerbit buku yang turut terjejas dan melalui tempoh sukar yang sama seperti kami," kata Zulkifli.


Zulkifli Mat ajak semua peniaga kecil Melayu untuk berganding bahu melalui tempoh yang sukar ketika ini.

Zulkifli yang juga peniaga di Chow Kit bersama lima rakan pengasas memulakan konsep jualan "live" Facebook SAC sebagai usaha membantu peniaga kecil di dua sektor berdekatan.

"Kami membantu peniaga bundle di sekitar Chow Kit dan di Gudang 5 & 6 Depot Gombak di Setapak setelah tiga bulan perniagaan cara fizikal lumpuh tanpa sebarang pendapatan," katanya.

Sambutan hebat peminat barangan bundle, vintaj, koleksi khas dan preloved membantu peniaga menjana mendapatkan hasil jualan dan meneruskan kehidupan.

"Kami mulakan projek siaran langsung jualan "live" di Facebook SAC tiga hari sebelum raya hingga Sabtu lalu dan hasilnya sangat memberangangkan," jelasnya.

Sesi menandatangani pemenang pembidaan jersi Piala Dunia 1982 milik pemain Brazil oleh Penasihat  Facebook Suara Anak Cokit, Zainal Rashid Ahmad (kiri) dengan Pengurus Garasi Republic, Shahrizal Mat Zin.

Zulkifli berkata, mulai minggu ini SAC menjadualkan tiga ke empat siaran langsung seminggu bagi membolehkan peniaga terus mendapatkan kutipan jualan.

"Perniagaan fizikal kini lumpuh terus dan kami mesti menggerakkan komuniti peniaga kecil Melayu meneroka potensi bisnes atas talian," katanya.

"Ebby Yus artis pertama yang menawarkan kolaborasi dan ini amat membantu usaha menaikkan jumlah tontonan dan prestasi jualan pada Rabu ini," katanya.

Dijangka hampir 10 peniaga kecil akan menyertai sesi jualan Rock&Roll@GarasiRepublic.

Peminat barangan vintaj boleh menyaksikan siaran langsung selama lima jam di Facebook Suara Anak Cokit pada Rabu 3 Jun mulai 10 malam hingga 4 pagi hari Khamis 4 Jun ini.