Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, LHDN memperuntukkan dana yang besar dalam membangunkan sistem itu.
Jelasnya, antara keutamaan yang diberi perhatian adalah keselamatan data.
“Kita tahu bahawa data ini antara cabarannya adalah ada pihak yang memang sentiasa cuba untuk tembusi, di mana-mana pun, satu dunia ada.
“Kita tak dapat elak perkara itu tapi apa yang kita pastikan adalah kawalan itu kita jaga. Semua garis panduan yang ada dipatuhi. Kalau berlaku jua…diharap tidak berlaku, tentunya kita harus segera tangani.
“Tapi kita tidak boleh menghalang sesuatu sistem itu hanya kerana keraguan kita dan ketakutan kita kerana kita tahu memang ada pasukan yang sentiasa nak tembus dan bangga dengan pencapaian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Agenda AWANI yang disiarkan di Astro AWANI pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata hanya perniagaan yang merekodkan hasil jualan tahunan melebihi RM150,000 perlu mengeluarkan e-Invois dan dikemukakan kepada LHDN mengikut fasa pelaksanaannya.
Tambahnya, buat masa ini, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS) dengan pendapatan di bawah RM150,000 setahun tidak perlu berbuat demikian.
Begitupun, katanya, PMKS dengan pendapatan itu masih digalakkan untuk mengemukakan invois tersebut.
Namun sekiranya tiada, mereka terkecuali daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan LHDN kini sedang berusaha mendidik masyarakat berhubung pelaksanaan itu dan komited membantu semua syarikat termasuk PMKS dalam melaksanakan e-Invois sepenuhnya.
Begitupun, tegasnya, LHDN tidak melantik sebarang sumber luar untuk berkongsi pengetahuan berhubung perkara itu dan semuanya adalah kelolaan lembaga itu sendiri.
“Kita tidak ada syarikat luar yang kita beri pengiktirafan atau pengesahan untuk buat tindakan ini.
“Semuanya datang daripada kita…contohnya seperti FAQ (soalan kerap ditanya) kalau nak lihat soalan terkini, garis panduan dikeluarkan pun ada dalam laman web kita iaitu di www.hasil.gov.my/e-invois.
“Perkara yang penting, tentunya program-program yang kita lancarkan. Kita meminta semua peniaga hadir sama, lihat sendiri bagaimana portal percuma ini.
“Yang sebenarnya kalau lihat proses itu tidaklah sukar mana tapi sebab perkara baharu, ambil masa sedikit untuk jadi kebiasaan,” ujarnya.