KUALA LUMPUR: Ekspo Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) atau dikenali e-Ekspo TVET@KPLB 2021 menyasarkan 80,000 pengunjung yang bakal memanfaatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta masyarakat luar bandar.

Buat kali kedua, ekspo itu diadakan secara maya ekoran pandemik COVID-19 yang masih belum reda dan berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 2 Oktober ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia bakal memberi pendedahan mendalam mengenai bidang TVET termasuk memfokuskan kepada pendigitalan program berkenaan.

“Dalam mendepani perubahan dalam sektor pekerjaan masa hadapan, program TVET@KPLB mengambil langkah pantas dalam menyediakan pelbagai persijilan termasuklah pendigitalan TVET menerusi penerapan aplikasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Pendigitalan TVETMARA dalam IR4.0 juga amat terserlah melalui program-program diploma baru yang diwujudkan sejak 2019, contohnya seperti Diploma Kejuruteraan Elektronik (Internet of Things), Diploma Kejuruteraan Teknologi Komputer (Cloud Computing), Diploma Kejuruteraan Teknologi Komputer (Big Data) serta Diploma Kejuruteraan Teknologi Komputer (Sekuriti).

“Selain itu, fokus kepada program Hi-TVET juga diberi perhatian serius oleh institusi TVET@KPLB dengan menjalankan program-program berimpak tinggi melibatkan digitalisasi seperti aeroangkasa, shipbuilding, teknologi rel, dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara), pada Rabu.


TVET@KPLB 2021 | Anjur ekspo maya, perkasa TVET secara meluas

Mengulas lanjut, beliau menambah, pelbagai kelainan program telah disusun pada penganjuran kali inidengan penglibatan agensi dibawah kementerian termasuk pendekatan medium komunikasi.

“Aplikasi TikTok juga trend terkini yang digunakan oleh institusi penyedia TVET di KPLB sebagai medium promosi yang efektif, interaktif dan dapat menjangkau golongan sasar dengan lebih luas, dalam usaha memperkasakan populariti TVET. 

“Selain itu, success story oleh alumni dan juga Ikon TVET@KPLB juga merupakan salah satu pengisian promosi program TVET untuk memberi inspirasi dan keyakinan kepada masyarakat bahawa pelajar dan pengamal TVET juga mampu berjaya seperti pelajar pendidikan arus perdana,” ujarnya.

Gambar KPLB

Gambar KPLB

Gambar KPLB

Gambar KPLB

Sehingga 31 Ogos 2021, seramai 14,238 orang pelajar baharu telah mendaftar dan memulakan pengajian di Institusi TVET@KPLB manakala kebolehpasaran graduan mencapai purata 86.59 peratus.

Untuk maklumat lanjut mengenai e-Ekspo TVET@KPLB 2021, orang ramai boleh melayari portal rasmi di https://ekspotvet.rurallink.gov.my/ atau media sosial rasmi KPLB di Facebook, Instagram, Youtube dan Tiktok.