Duta Besar Malaysia ke Korea Utara Mohamad Nizan Mohamad yang diisytiharkan sebagai persona non grata (PNG) oleh kerajaan Korea Utara, kini berada di Malaysia.

Jurucakap Kementerian Luar Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata duta itu yang dipanggil pulang dua minggu lepas bagi perundingan masih berada di Kuala Lumpur.

"Ya memang benar duta kita telah diisytiharkan sebagai PNG. Tindak balas ini merupakan perkara biasa dalam diplomasi.

"Perlu ambil perhatian bahawa duta besar Malaysia telah dipanggil pulang oleh kerajaan. Beliau kini berada di Malaysia dan telah berada di Malaysia sejak itu," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, malam ini.

BACA: Kerajaan akan lihat keperluan kaji hubungan diplomatik dengan Korea Utara

BACA: Kang Chol bimbang hubungan KL - Pyongyang


Agensi berita North Korean Central News Agency (KCNA) hari ini melaporkan negara itu telah mengisytiharkan duta besar Malaysia ke negara itu sebagai "persona non grata" dan mendesak duta itu meninggalkan Korea Utara dalam tempoh 48 jam dari 10 pagi Ahad.


Laporan itu dikeluarkan susulan Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol disiytiharkan sebagai PNG pada Sabtu dan diberikan tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia selepas beliau gagal hadir apabila dipanggil Wisma Putra (Kementerian Luar).

Keputusan itu dibuat oleh kerajaan berikutan duta itu gagal meminta maaf berhubung tuduhan dibuatnya bahawa Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan dalam menyiasat pembunuhan Kim Chol, dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb. Jong-nam hidup terasing daripada adiknya itu.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara renggang sejak itu. Kang Chol berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.35 petang dengan penerbangan Malaysia Airlines MH360 ke Beijing.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Ramlan Ibrahim berkata pengisytiharan Mohamad Nizan sebagai 'persona non grata' (PNG) adalah hak negara itu.

"Itu hak dia seperti mana hak kita isytihar PNG kepada Duta Besar Korea Utara. Ini amalan diplomasi, (ia) tindakan balas," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis ramah mesra Kementerian Luar bersama-sama wakil media di sini, malam ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia mempertimbang untuk membawa pulang sembilan pegawai Kedutaan Malaysia yang masih berada di Korea Utara, Ramlan berkata perkara itu masih dalam perbincangan dan bergantung kepada keadaan semasa. -- Bernama