KUALA LUMPUR : Dua warga emas menjadi korban terbaharu penularan COVID-19 di Sarawak, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat virus itu meningkat kepada 83 individu atau 0.87 peratus.

Perkara itu disahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melalui satu kenyataan pada Ahad.

"Kes kematian ke-82 merupakan kes ke-7,102 melibatkan wanita warga tempatan berumur 78 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.

"Ujian rt-PCR telah dibuat dan didapati positif COVID-19 pada 16 Februari 2021. Keadaan kesihatan kes didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 27 Februari 2021," jelas JPBN Sarawak.



COVID-19 Sarawak | Dua kematian, 171 kes baharu

Tambah jawatankuasa itu lagi, kes turut mempunyai komorbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan kegagalan fungsi buah pinggang.

Menyentuh mengenai kes kematian yang kedua pada hari ini pula melibatkan lelaki tempatan, juga seorang warga emas berusia 80 tahun.

Seperti dimaklumkan oleh JPBN Sarawak, kes ini mempunyai perkaitan kepada Kluster Pasai, Sibu.

"Kes ini telah dimasukkan ke Hospital Sibu dari sebuah pusat jagaan hasil saringan ujian rt-PCR secara aktif dan dikesan positif pada 29 Januari 2021.

"Keadaan kesihatan kes didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 27 Februari 2021. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi,kencing manis dan kanser prostat," petik kenyataan sama.

Selain itu, Sarawak pada hari ini merekodkan 171 kes positif COVID-19 baharu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 9,545 kes.

"Daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Sibu dengan 33 kes, diikuti Miri (31), Bintulu (29), Betong dan Kapit (20), Kuching (15), Serian (9) dan Kanowit (4).

Manakala baki selebihnya pula, dua kes direkod melibatkan Beluru dan Sri Aman dan satu masing-masing di Asajaya, Bau, Bukit Mabong, Julau, Samarahan dan Sebauh.

Dalam perkembangan positif, 203 kes dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.

Hospital-hospital yang terlibat adalah Hospital Sibu, Hospital Umum Sarawak, Hospital Bintulu, PKRC di bawah Hospital Kapit, Hospital Miri dan Hospital Sarikei.

Dengan itu, kata JPBN Sarawak, jumlah yang telah pulih dan discaj secara keseluruhannya meningkat kepada 7,064 orang atau 74.01%.

Antara lain, petik kenyataan yang sama, tiga daerah telah diisytiharkan bertukar status berdasarkan penilaian sejak 14 hari yang lepas.

"Daerah Julau dan Subis telah bertukar ke status jingga setelah masing-masing merekodkan 40 dan 25 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

"Daerah Pakan pula telah bertukar ke status hijau setelah tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh sama," ujar JPBN Sarawak pada Ahad.