Dua maut manakala empat yang lain selamat, termasuk seorang kanak-kanak, dalam kebakaran di kediaman sementara pekebun sayur dekat Kampung Pertama, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 4.41 pagi itu, bomba yang menerima panggilan dan bergegas ke lokasi kejadian mendapati api sedang marak hingga memusnahkan 90 peratus struktur rumah berkenaan.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Timbalan Penguasa Bomba II Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pemeriksaan di dalam rumah mendapati seorang lelaki ditemui rentung dan seorang lagi lelaki warga Myanmar tidak sedarkan diri.

Lelaki warga Myanmar itu kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan, bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia kemudiannya.

Mangsa yang meninggal dunia di lokasi merupakan lelaki warga tempatan dikenali sebagai Teh Sew Wing, 65 tahun. Manakala warga Myanmar itu dikenali sebagai Mohd Yunos Mohd Yasin, 45 tahun.

Foto JBPM

Azrul Khairi berkata, siasatan awal mendapati rumah berkenaan dijadikan kediaman sementara pekebun dan mangsa, dipercayai bekerja sebagai tukang kebun di kawasan itu.

Terdapat tiga lagi warga Myanmar berusia antara 13 dan 22 tahun, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, dan seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun, yang turut berada di dalam kediaman berkenaan.

Foto JBPM

Katanya, mereka sempat menyelamatkan diri ketika kejadian.

Api berjaya dipadamkan pada jam 5.25 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 8.35 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.