Sekurang-kurangnya dua pelajar sekolah maut dalam kejadian banjir gelombang ketiga yang melanda Machang, Kelantan pada Selasa.

Zulkhairi Abdul Taib dan Mohd Arif Johan Mohd Noh masing-masing berumur 13 dan 15 tahun dipercayai lemas selepas bot dinaiki terbalik.

Kedua-dua mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temangan, Machang.

Mayat ditemui di kawasan berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Machang.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 pagi Selasa ketika mangsa dan lima lagi rakan bermain di atas sebuah bot.

Lima rakan tersebut bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, penduduk yang menetap di tebing sungai utama di Kelantan diminta bersiap sedia menghadapi banjir.

Ia susulan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang sudah melepasi paras bahaya iaitu 9.02 meter berbanding 9 meter.

Sementara itu, Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 758 mangsa dipindahkan ke 15 pusat pemindahan banjir.

Kebanyakannya ditempatkan di sekolah, balai raya dan masjid.

Antara kawasan terjejas ialah Setiu, Dungun dan Besut, manakala di Kelantan, 20 penduduk Kampung Daram Buaya, Pasir Puteh terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka ditenggelami air.

Mangsa membabitkan enam keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Changgai.

Jurucakap balai bomba dan penyelamat Pasir Puteh menjangka lebih ramai akan dipindah berikutan hujan lebat berterusan sejak Isnin.

Dengan itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan ialah 273 orang dengan lapan pusat pemindahan dibuka.

Di perak pula, 526 mangsa berpindah ke lapan pusat pemindahan banjir.

Antara kawasan terjejas teruk ialah Parit Tengah dan Larut Matang.