Namun kali ini, kemeriahan itu tidak seperti tahun sebelumnya apabila dikatakan pelanggan mula berkurangan.
Astro AWANI meninjau keadaan di Kompleks PKNS pada Ahad bagi menyelami keadaan para peniaga.
Menurut Razali Ghani, 51, meskipun lebih dua minggu memasuki bulan Ramadan, tetapi kadar kunjungan dilihat suram.
"Alhamdulilah rezeki tetap ada cuma tak sehebat tahun lepas. Ada yang nampak penurunan dia (pelanggan menurun) sebab tahun lepas mungkin ada bantuan kerajaan, pengeluaran khas KWSP, jadi rakyat berbelanja.
"Kalau ikut tahun lepas memang orang ambil peluang membeli, sebab dua tahun tak membeli.. tapi pada tahun ini peniagaan itu agak perlahan sedikit," katanya.
Rasa sama diluahkan peniaga baju kurung ini, Salamah Mat Noh, 61, yang mengharapkan agar lebih ramai pengunjung dapat membeli belah di kompleks berkenaan.
Ujarnya, penganjuran dan promosi telah dilakukan sebaik mungkin, namun kekurangan kuasa pembeli menyukarkan peniaga.
"Memang tak balik modal lagi berbanding sewa booth, jadi kami beli barang-barang dengan modal banyak.
"Terus terang cakap memang tak balik modal, harap-harap dalam masa dua minggu ni kami dapat balik modal dan dapat untung sikit lah itu harapan kami," ujarnya.
Sepanjang tinjauan, penulis mendapati keadaannya tidak seperti tahun lalu apabila setiap laluan sesak dengan ribuan warga kota.
Namun kali ini, dilihat sedikit lengang dan tidak berhimpit-himpit seperti sebelum ini.
Bagi peniaga kuih raya, Leha Bujang, sepanjang berniaga selama 26 tahun di kompleks itu, beliau dapat merasakan perbezaan ketara Aidilfitri kali ini.
"Mak cik dah 26 tahun berniaga di sini. Walaupun kompleks ini dah lama tapi sentiasa jadi tumpuan orang ramai setiap tahun bila nak raya.
"Tapi tahun ini ada perbezaan, bezanya kunjungan tidak macam sebelum ini. Sebenarnya ini tahun pertama dikatakan lain sedikit, berbeza dengan tahun tahun sudah," katanya.
Tambah Leha, setiap hari pengunjung akan berpusu-pusu mendapatkan kelengkapan raya termasuk kuih raya jualannya.
Namun tahun ini, kuasa pembeli itu amat kurang, jelasnya.
"Sebelum ini kompleks ini meriah, kunjungan penuh tak payah tunggu hujung minggu, hari biasa pun ramai orang.
"Mungkin sebab hari raya ni dekat sangat dengan sesi persekolahan kan, jadi ramai yang dah berbelanja beli kelengkapan sekolah, jadi modal nak beli barangan raya dah kurang," katanya lagi.