IPOH: Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersiri di sekitar bandar raya ini di Jalan Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kes samun daripada seorang mangsa wanita berusia 33 tahun semalam, di kawasan perindustrian Silibin.

Katanya, mangsa mengalami kerugian harta benda antaranya beg tangan, telefon bimbit, kad ATM, wang tunai dan dokumen peribadi dengan anggaran sebanyak RM650.

"Hasil daripada tindakan pantas dan kepekaan anggota polis di lapangan, pihak polis telah berjaya menangkap dua lelaki tempatan.

"Masing-masing berusia 28 dan 32 tahun yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kes tersebut pada 20 Jun, sekitar jam 9 pagi di Jalan Kuala Kangsar, di sini yang mana jarak lebih kurang 10 kilometer dari tempat kejadian.

"Kes disiasat di bawah seksyen 395 kanun keseksaan (samun berkawan)," katanya kepada pemberita malam tadi.

Jelasnya lagi, polis turut berjaya merampas beberapa barang kes, termasuk kenderaan yang digunakan suspek dan barangan milik mangsa semasa tangkapan dibuat.

Katanya lagi, ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek ini masing-masing mempunyai 17 dan 11 rekod bersangkut kes-kes jenayah pelbagai kesalahan.

"Dengan tertangkapnya suspek-suspek tersebut, maka kes ini telah berjaya diselesaikan.

"Kini, pihak siasatan sedang mengenal pasti berapa jumlah kes samun yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah ini di sekitar Ipoh dan kedua-dua suspek ini akan direman pada Rabu (hari ini) bagi siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati dua suspek ini bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya tujuh kes samun yang dilaporkan di sekitar Ipoh, termasuk satu kes samun mendatangkan kecederaan melibatkan mangsa seorang warga Kanada berusia 73 tahun di Taman Ipoh pada 15 Jun lalu.

Masyarakat boleh mendapatkan bantuan khidmat polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-254 2222.