IPOH: Dua lelaki maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori dalam kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan Gunung Panjang di Gopeng, malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata bomba mendapat panggilan pada 9.48 malam sebelum tiba ke lokasi lapan minit kemudian.

Beliau berkata kejadian menyebabkan dua lelaki berusia 58 dan 62 tahun itu tersepit di dalam kereta Perodua Kancil dinaiki mereka, bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

"Peralatan khas digunakan untuk mengeluarkan mangsa dari kereta terbabit. Kedua-dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Sabarodzi berkata operasi tamat pada 10.20 malam dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA