Ringkasan AI
- Dua lelaki maut ditetak dalam pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Sentosa pada Sabtu.
- Salah seorang mangsa cuba melarikan diri tetapi meninggal dunia di sebuah premis kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Pakar Sentosa.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.50 malam.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam di sebuah premis perniagaan di lokasi kejadian.
"Suspek dipercayai telah menetak kedua-dua mangsa di lokasi terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, salah seorang mangsa cuba melarikan diri tetapi disahkan meninggal dunia di sebuah premis kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
"Seorang lagi mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sentosa dan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
"Semakan mendapati kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 36 dan 38 tahun merupakan warga tempatan itu mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya.
Menurutnya, mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan," katanya. -Sinar Harian
