Ditambah pula tiada kemudahan pili bomba yang disediakan untuk melakukan kerja pemadaman.
Ini mengakibatkan dua kawasan penempatan setinggan di tepi laut Kuala Kedah dan Bukit Malut di Langkawi menjadi lokasi titik panas Bomba Kedah sekiranya berlaku kebakaran di kawasan penempatan itu.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, tindakan drastik pihak kerajaan negeri bagi memindahkan penduduk dan merobohkan kawasan itu perlu dilakukan segera.
Katanya, sekiranya berlaku kebakaran, api dapat merebak dengan cepat dan usaha penyelamatan penduduk agak sukar.
“Kita sedia maklum di negeri Kedah ini mengalami keadaan kering, panas dan berangin akibat monsoon timur laut.
“Dengan faktor kedudukan rumah yang begitu padat, jadi risiko untuk berlakunya kebakaran adalah tinggi,” katanya.
Bagi membiasakan diri dengan situasi sebenar dan tindakan pantas dapat dilakukan, pihaknya bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) melakukan latihan pemantapan bomba di Kampung Ulu Kuala Kedah, antara kawasan setinggan yang padat dengan penduduk.
Sayani berkata, kedudukan lokasi terletak lebih 15 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) paling hampir iaitu di Jalan Raja dan BBP Alor Setar.
Katanya, melalui latihan seumpama ini, pihaknya boleh melakukan penambahbaikan dan memperbaiki kekurangan yang ada ketika menghadapi situasi kebakaran sebenar.
Dalam latihan ini, sebanyak lima buah rumah musnah 80 peratus dan terdapat dua mangsa cedera manakala seorang daipadanya maut.
“Ini merupakan satu latihan yang kami adakan bertujuan untuk memantapkan lagi daripada segi pengurusan operasi kami.
“Kami juga dapat menguji kepantasan anggota kami melakukan tugas serta menguji peralatan perkakasan kami selain sistem komunikasi antara kami,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung, Zaharin Yahya, 57, berkata, latihan seumpama ini sangat baik kerana penduduk dapat mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran di kawasan mereka.
Katanya, lima tahun lalu pernah berlaku kebakaran besar di kawasan penempatan setinggan di situ namun bersyukur kerana semua penduduk terselamat.
“Jika berlakunya kebarakan, saya akan menghubungi pihak bomba. Selepas itu saya akan menyelamatkan diri serta anak-anak dan suami,” kata salah seorang penduduk di Kawasan setinggan berkenaan, Zaharin Yahya.