BALING: Dua beranak maut selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dipercayai cuba ketika mengelak kera melintas di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, kira-kira pukul 6.12 petang Sabtu.

Dalam kejadian jam 6.12 petang itu menyebabkan mangsa Siti Norhasliza Kamarudin, 26, dan ibunya, Omi Kalsom Man, 69, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Charan Ai Wan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suami mangsa, Mohd Fadzil Othman, 27, datang dari arah tempat rekreasi Sungai Sedim, Kulim menghala ke Bedong, Sungai Petani untuk pulang ke rumah.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba seekor haiwan yang dipercayai kera melintas dari kanan ke kiri jalan menyebabkan Mohd Fadzil cuba mengelak ke kiri jalan bagaimanapun hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabas di kawasan semak.

“Akibat daripada kemalangan tersebut kedua-dua mangsa telah tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Charan berkata, ketika kejadian isteri pemandu berada di bahagian penumpang hadapan manakala ibu mertuanya berada di bahagian belakang.

Manakala dua anak mangsa, Lufiya Mikayla Mohd Fadzil, 2 dan Lufh Mikhael Mohd Fadzil, 3, serta Mohd Fadzil telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.

Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.