SHAH ALAM: Dua anggota polis peronda yang disyaki melakukan pemerasan wang terhadap seorang peniaga burger sambilan telah ditahan pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata anggota terbabit ditahan sehari selepas pengadu membuat laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sebagai peniaga burger sambilan mendakwa anggota terbabit melakukan pemerasan wang ketika ingin menghantar pesanan pelanggan ke Bukit Tinggi, Klang.

Cha berkata dalam kejadian kira-kira 1.10 pagi pada 6 Ogos itu, mangsa yang sedang menaiki motosikal telah ditahan oleh suspek dengan kereta peronda di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) sebelum susur keluar ke Bandar Puteri, Klang.

"Semasa pemeriksaan dilakukan oleh suspek, anggota terbabit mendapati cukai jalan motosikal ditunggang mangsa telah tamat tempoh dan dipercayai menggunakan kesalahan ini untuk meminta sejumlah wang daripada mangsa bagi mengelakkan motosikalnya disita.

"Setelah berbincang, mangsa telah memasukkan wang tunai sebanyak RM90 ke dalam plastik berisi burger dan menyerahkan kepada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

-- BERNAMA