KAJANG: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan wang RM300 terhadap seorang lelaki warga Myanmar, lima hari lepas.

Koperal Nik Ridzuan Nik Man, 39, dan Konstabel Muhammad Najmi Mohd Khodri, 27, didakwa bersama-sama melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Wai Lin Phyo, 29, bahawa mangsa akan ditangkap sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM300 di tepi jalan Taming Sari 1, Balakong, di sini pada 11.30 pagi, 28 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Muhamad Wafiq Hadie mewakili Nik Ridzuan memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung tiga anak dan isteri selain tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi dan kolesterol.

"Penjamin hari ini adalah adik ipar tertuduh yang bekerja sebagai mekanik dan keluarganya hanya membawa wang jaminan RM4,000. Wang jaminan hanya cagaran bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan bersifat menghukum," katanya.

Sementara itu, peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili Muhammad Najmi memohon jaminan rendah kerana anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.

"Anak guam masih berkhidmat sebagai anggota polis dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan. Tiada risiko anak guam melarikan diri kerana mereka masih penjawat awam," kata peguam itu.

Pada 29 Julai media melaporkan, dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang itu ditahan selepas polis memeriksa video tular memaparkan mereka dipercayai sedang memeras wang daripada seorang lelaki.

Video tersebut tular menerusi media sosial yang memaparkan dua anggota polis itu dipercayai ketika sedang melakukan rondaan telah menahan sebuah kereta dinaiki warganegara asing dan memeras sejumlah wang daripada seorang lelaki.

-- BERNAMA