Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan kerja ke Fukuoka dan Oita, Jepun bermula esok hingga 9 Ogos.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Dr Mahathir akan diiringi oleh isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, serta para pegawai dari Wisma Putra.

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama di Japan Future Leaders School dan Institut Kepimpinan Asia Kyushu, kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Dr Mahathir juga akan bertemu dengan Penasihat Khas Perdana Menteri Jepun Hiroto Izumi dan melawat ke Pusat Penciptaan Keselamatan Syarikat Kereta Api Kyushu dan Taman Teknologi Groovenauts Inc. di Fukuoka dan Universiti Ritsumeikan di Oita.

"Lawatan itu membolehkan Perdana Menteri bertemu dan mengadakan perbincangan yang bermakna dengan pemimpin muda Jepun.

"Ia juga membolehkan Malaysia meningkatkan kerjasama dua hala dengan Jepun, terutama dalam bidang pendidikan, teknologi dan pengangkutan," kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Jepun terus menjalin hubungan dua hala yang rapat dalam banyak bidang kerjasama.

Pada 2017, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan RM138.5 bilion (AS$ 32.22 bilion), peningkatan sebanyak 14.7 peratus berbanding 2016.

Jepun merupakan rakan dagang Malaysia yang keempat terbesar selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat. -- Bernama