SHAH ALAM: Dua rangkai kunci kereta dan dompet mengandungi kad pengenalan milik mangsa, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, merupakan barang kes yang dijumpai di Sungai Trolak, Batu 4, Perak, pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Dua rangkai kunci kereta dan dompet mengandungi kad pengenalan milik mangsa, Nur Farah Kartini Abdullah, ditemui di Sungai Trolak, Perak oleh Pasukan Forensik Unit Selam Bukit Aman.
  • Suspek lelaki berusia 26 tahun disambung reman selama tujuh hari sehingga 29 Julai selepas penemuan mayat Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.
  • Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Pahang dan beliau dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum laporan polis dibuat pada hari berikutnya.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pencarian telah dilakukan Pasukan Forensik Unit Selam Bukit Aman.

"Pasukan telah menemui dua rangkai kunci kereta dan satu dompet mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.

"Kedua-dua barang kes ini dipercayai berkaitan dengan kes pembunuhan yang sedang disiasat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan suspek lelaki berusia 26 tahun disambung reman tujuh hari sehingga 29 Julai depan selepas reman pertama selama tujuh hari tamat, pada Isnin.

Suspek ditahan 15 Julai pada hari yang sama penemuan mayat Nur Farah Kartini di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.

Susulan itu, polis telah menemukan telefon pintar di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, selain beg tangan dipercayai milik Nur Farah Kartini di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan di Pahang.

Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum laporan polis dibuat pada keesokan hari. - Sinar Harian