DOF dalam kenyataan hari ini berkata orang ramai diingatkan agar tidak mempercayai maklumat tidak disahkan yang disebarkan melalui rantaian pesanan di platform WhatsApp atau media sosial lain.
"Isu berkaitan keselamatan makanan adalah penting dan harus dirujuk kepada sumber yang sahih dan berautoriti," kata kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat jabatan itu.
DOF turut menegaskan, semua pihak yang terlibat dalam industri makanan perlu mematuhi garis panduan dan peraturan keselamatan makanan ditetapkan pihak berkuasa.
Sebarang dakwaan serius mengenai keselamatan makanan harus disiasat dan ditangani dengan sewajarnya, mengikut kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit memaparkan seorang pelanggan sebuah restoran dipercayai di Selangor yang tidak berpuas hati kerana terdapat ulat dalam hidangannya dan membuat aduan mengenai perkara berkenaan kepada pekerja restoran itu.
-- BERNAMA