SAYA merujuk kepada kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) yang dibuat dalam Persidangan Khas Parlimen pada 26.7.2021 di mana beliau telah memaklumkan kepada persidangan Dewan bahawa Kabinet telahpun memutuskan untuk membatalkan (‘revoke’) kesemua Ordinan Darurat (yang berjumlah 6 secara keseluruhannya) (‘Ordinan-Ordinan Darurat tersebut’) pada 21.7.2021 dan memandangkan perkara tersebut, isu annulment Ordinan-Ordinan Darurat tidak lagi relevan (‘kenyataan tersebut’).

Dari sudut undang-undang, kenyataan tersebut menimbulkan banyak persoalan penting yang mana, antara lainnya, adalah seperti berikut:

a) Bilakah Kabinet memutuskan untuk menasihati ang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?

b) Sama ada Kabinet telahpun secara efektifnya menasihati YDPA untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut dan sekiranya ya, bilakah nasihat tersebut diberi kepada YDPA?

c) Sama ada YDPA telahpun menerima nasihat Kabinet tersebut untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut, dan sekiranya ya, bilakah YDPA berkenan sedemikian?

d) Sama ada pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telahpun digazet mengikut peruntukan undang-undang?

Berdasarkan kenyataan tersebut, Ordinan-Ordinan Darurat telahpun dibatalkan pada 21.7.2021 dan sekiranya ianya benar, persoalan-persoalan yang telah saya utarakan di atas semestinya telahpun dilakukan selewat-lewatnya pada 21.7.2021.

Namun, sehingga hari ini, tiada sebarang kenyataan yang telahpun dibuat berkenaan sebarang pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh pihak Istana. Malah, kerajaan hanya mengeluarkan kenyataan tersebut semasa Persidangan Khas Parlimen apabila Kabinet diasak untuk membentangkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut di Parlimen dengan segera.

Mengikut peruntukan Perkara 150 (3), apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang merungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).

Dalam erti kata lain, Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan wajib dibentangkan dengan segera di persidangan Parlimen apabila Parlimen bersidang melainkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telahpun dibatalkan terlebih dahulu.

Namun, persoalan penting yang timbul di sini adalah sama ada Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telahpun dibatalkan secara sah mengikut peruntukan undang-undang sepertimana yang telah saya persoalkan di atas. Sekiranya ia tidak dilakukan (sepertimana persoalan saya di atas), maka pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut adalah tidak sah.

Pada pandangan saya, Ordinan-Ordinan Darurat tersebut tidak boleh dianggap telahpun dibatalkan selagi tiada penjelasan daripada Kabinet terhadap persoalan-persoalan di atas. Selagi tiada sebarang penjelasan jelas daripada Kabinet, Ordinan-Ordinan Darurat tersebut masih sah dan berkuatkuasa.

Pada hemat saya, sekarang bukanlah masa untuk mana-mana pihak mempolitikkan isu tersebut. Isu Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat adalah amat penting pada masa sekarang dan rakyat berhak untuk tahu sama ada mereka masih tertakluk kepada Ordinan-Ordinan tersebut.

Negara ini perlu tahu sama ada Ordinan-Ordinan Darurat masih berkuatkuasa ke atas semua rakyat. Perkara ini sudah semestinya tidak boleh disembunyikan daripada rakyat dan Kerajaan seharusnya lebih telus dalam perkara ini. Kerajaan harus menghormati prinsip ‘rule of law’ lebih-lebih lagi dalam isu yang penting seperti ini bagi mengelakkan sebarang krisis perlembagaan dan bagi menjamin kestabilan negara pada ketika ini.

Dan dalam tempoh ini juga mana-mana pihak seharusnya tidak wajar meneruskan polemik menimbulkan kesangsian kerana perkara ini akan memberi kesan besar kepada kestabilan pemerintahan negara dan pada masa yang sama, saya ingin tekankan bahawa Kerajaan perlu segera memberi penjelasan yang menyeluruh dan terperinci mengenai perkara ini.

Ketelusan Kerajaan dalam isu ini, kini dalam perhatian seluruh rakyat Malaysia.


Aizat Azam
EXCO Pemuda UMNO Malaysia/Pengamal Undang-undang