KUALA LUMPUR: Minat mengembara sejak kecil ternyata berbaloi apabila diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai pemandu pelancong pertama dari Malaysia yang telah melancong ke 195 negara di dunia pada Januari lepas.

Lee Sei Loong, 47, yang menjadi pemandu pelancong sejak 1996 telah melawat semua negara berkenaan melalui perkhidmatannya dengan pelbagai agensi pelancongan.

Antara negara pernah dilawati ialah Afghanistan, Uganda, Haiti, Arab Saudi, Iraq, China, Afrika Selatan, Namibia, Nigeria, Afghanistan, Tuvalu, Bhutan, Senegal, Korea Utara, Vietnam, Filipina, Indonesia, Somalia dan banyak lagi selain pernah menjejak kaki di Kutub Utara.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata peingiktirafan berkenaan merupakan sejarah yang cukup membanggakan buat dirinya dan akan sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik dalam kerjaya.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja menyuntik semangat saya untuk terus berani mencuba sesuatu perkara baharu, tetapi turut menjadi bukti penting dalam karier saya,'' katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

"Tugas pemandu pelancong adalah menemani pelanggannya sama ada individu atau berkumpulan ketika mereka melancong atau melawat tempat tarikan pelancongan.

"Biasanya, saya akan bertindak dalam menguruskan visa pelancong, menyampaikan maklumat, komentari, menjawab sebarang persoalan selain memastikan jadual perjalanan mereka dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik," katanya.

Meskipun puas dengan apa yang dilakukan, Lee bagaimanapun tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang menceburi kerjaya berkenaan.

Antaranya perlu berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan, birokrasi imigresen serta perbezaan makanan di setiap negara yang dilawati selain kenaikan kos tambang penerbangan yang boleh memberi kesan kepada harga pakej.

"Namun, cabaran itu boleh dianggap kecil kerana lebih banyak perkara menyeronokkan terjadi antaranya apabila mendapat kepercayaan tinggi daripada pelanggan sama berulang kali," katanya yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam industri pelancongan.

Biarpun senang mengembara ke negara orang, anak kelahiran Seri Kembangan, Selangor ini bagaimanapun tetap berbangga dilahirkan di Malaysia, bak kata pepatah 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'.

"Keunikan Malaysia tidak akan dapat diperoleh atau didapati di mana-mana negara lain di dunia ini dan sekiranya ada sekalipun, suasananya pasti amat berbeza dengan negara kita," katanya yang bercadang membukukan pengalamannya sebagai pemandu pelancong, dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA