Seorang guru besar sebuah sekolah kebangsaan (SK) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan menyalahgunakan wang zakat pelajar miskin, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zabidah Sulaiman, 58, guru besar SK Pasir Gajah, Kemaman bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dikatakan dengan curang menyalahgunakan wang zakat daripada Syarikat Ladang Rakyat Terengganu sebanyak RM5,000 yang sepatutnya diserahkan kepada 100 pelajar miskin.

Zabidah dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah akta sama jika sabit kesalahan.

Kesalahan berkenaan dilakukan pada 13 Julai 2015 di bilik mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat Terengganu daerah Kemaman ketika tertuduh memegang jawatan sebagai guru besar di SK Cheneh Baru 2, Kemaman.

Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 11 Februari depan.