Tertuduh, Rozma Yunus, 56 membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli dan Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi masih bebas telah didapati menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dan seorang wanita berusia 55 tahun dengan memperdayakannya supaya melabur dalam satu pelaburan tidak wujud.
Tertuduh telah dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM1,545,824 dan RM97,800 secara dalam talian ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara 12 Julai 2017 hingga 1 September 2022 di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Tembusu 5 Kampung Tok Dagang, Seremban dan di Taman Panchor Jaya.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Nadia Ezzati Mohd Zainal.
Sementara itu, tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai dan Lee Boon Shian.
Chrysandy memohon jaminan rendah kepada tertuduh yang baharu bekerja sebagai pembantu tadika selama seminggu sebelum ditahan manakala suaminya berusia 56 tahun tidak bekerja.
Manakala Boon Shian memberitahu, tertuduh menghidap penyakit Hepatitis B.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Februari depan. - Sinar Harian