"Dia hamil tujuh bulan, sebab itu dia nak balik Indonesia. Dia nak bersalin di sana," itu luahan Arina Susanti, 33, yang masih mencari adiknya, Ulfa Yanti Fitri, 28 yang menjadi salah seorang mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam pada awal pagi Khamis, lalu.

Arina yang sukar mengawal kesedihan ketika ditemubual Astro AWANI mengakui adiknya merupakan seorang yang rajin serta menjadi tulang belakang dalam membantu keluarga mereka yang berada di Padang, Indonesia.

"Adik saya terlalu baik ... terlalu baik dengan semua orang. Dia membantu kami sekeluarga di kampung (Padang, Indoensia) dan membiayai sekeluarga di kampung.

"Saya dan dia tulang belakang keluarga, kini tiada dia, tinggal saya seorang. Hanya dia satu-satunya harapan kami sekeluarga. Ibu bapa kami juga sudah tidak ada," kata Arina ketika ditemui Astro AWANI pada Jumaat.

Malah, Arina mengakui ada melarang adiknya untuk pulang ke Indonesia dengan menaiki bot ketika sedang sarat mengandung.

"Kami sudah larang, dia masih degil. Kami cakap naik pesawat sahaja (ke Indonesia), tetapi dia malah lewat belakang (secara haram) juga," kesal Arina yang kini menetap di Kajang, Selangor.

Menurut kenalan rapat Ulfah, Lily Sanuri, 30, pada malam kejadian, Ulfah dikatakan berada ke rumah ejen sebelum pulang ke Indonesia menerusi jalan haram di Pelabuhan Klang.

"Adik saya itu bertolak dengan satu (rakan) sekampung juga. Tetapi kakak itu lalu dekat depan, dia bawa bagasi dengan mereka.

"Adik saya lalu belakang. Kakak itu yang bagi informasi dengan saya bahawa adik saya sudah meninggal. Pukul 8 (pagi Khamis) kami mencari informasi.

"Kami berusaha untuk dapatkan nombor dia (rakan sekampung Ulfa), dia dah sampai dekat Medan, Indonesia. Saya cuba hubungi dia, dia cakap adik saya tiada dalam bot itu. Kemudian pukul 11 (pagi), dia ada mesej saya, dia cakap adik saya sudah meninggal," ujar Lily.

Lily yang ditemui di Jeti Ladang Sungai Bernam, lokasi pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum itu telah ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk membuat pengecaman jenazah.

Bagaimanapun, dia gagal menemui jasad Ulfah.

Pada masa sama, Arina merintih dan berharap supaya adiknya dapat ditemui sama ada dalam keadaan selamat mahupun telah meninggal dunia.

"Sebagai kakak, saya meminta semoga dia cepat diketemukan, walau dia sudah meninggal, mana jenazahnya? Harap ditemui dan dipulang ke Indonesia. Keluarga di kampung sudah menunggu," kata Arina yang gagal menahan linangan air matanya.

Setakat ini, 17 mayat telah dijumpai oleh pasukan SAR dan menjadikan angka kematian meningkat kepada 46.

BACA: 19 MANGSA BOT KARAM TERSELAMAT DIREMAN 14 HARI