Masakan tidak, dalam persekitaran semasa yang serba-serbinya memerlukan wang, ada peniaga yang menjual kuih pada harga 10 sen atau di negeri-negeri utara lebih terkenal dengan panggilan ‘sekupang’.
Bukan hanya dijual pada nilai berkenaan, sebaliknya, harga jualan kuih-muih yang diusahakan Roslina Saad, 54, juga masih sama sejak 20 tahun lalu
Bagi Roslina, tujuan utama dia berbuat demikian adalah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah terutama penduduk luar bandar mampu membeli kuih-muih dengan harga yang paling murah.
Tambahnya, walaupun kuih-muih yang dijual adalah berharga 10 sen, namun, setiap biji, saiz dan kualitinya adalah sama seperti tahun-tahun sebelum ini.
"Saya jual (dengan) sekupang (10 sen), kalau (dengan harga) sekupang, orang tak berduit (pun) boleh makan, (contohnya) walaupun lima kupang (50 sen) dia beli (boleh dapat lima biji kuih),
"Tujuan jual dengan harga ini (adalah untuk) membantu penduduk yang berpendapatan rendah agar mereka mampu beli (kuih yang dijual), satu lagi apabila melibatkan keluarga yang ada (ahli keluarga yang) terlalu ramai, kalau mereka nak beli (kuih) yang (dijual) 5 biji RM2 itu boleh dapat satu jenis sahaja, kalau (beli daripada) saya, RM2 boleh campur-campur (20 biji kuih-muih)," kata Roslina ketika ditemui di gerai jualannya di Bazar Ramadan Lubuk Merbau, Padang Terap, di sini.
Sepanjang musim bulan puasa, gerai jualan Roslina menawarkan 5,000 biji pilihan jenis kuih termasuk buah melaka, karipap, onde-onde, lopeh dan ketayap setiap hari.
Lebih membahagiakan Roslina, kesemua jualannya itu lazimnya habis terjual dalam tempoh kurang dua jam khususnya pada hujung minggu.
"Selalunya saya sediakan dalam 14 jenis atau 15 jenis (kuih)… setiap satu jenis (kuih) ada yang (dijual) 450 biji, ada yang 600 (biji) dan ada yang 700 (biji),
"Saya mula meniaga dalam pukul 3 (petang), (nak kata laris) tengok (kepada) keadaan, (jika hari) Jumaat, Sabtu atau Ahad, dalam pukul 5 (petang) sudah habis, kalau hari lain dalam pukul 6 (petang)," katanya.
Sementara itu, beberapa pembeli yang ditemui menyifatkan, usaha Roslina mengekalkan harga kuih yang dijual sebagai sangat membantu keluarga yang berpendapatan rendah di kawasan sekitar yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.
"Sangat okey kerana kita (golongan penoreh) dengan harga getah murah (ketika) ini mampu beli (kuih yang dijual) sebiji sekupang (10 sen), perbelanjaan tidak berapa teruk (dan besar sangat), kalau beli RM5 banyak biji sudah dapat, dua hari (sekali) mesti saya datang beli (di sini)," kata penoreh getah, Mohd Sobri Saad, 38.
Bagi Dalilah Ali yang juga seorang suri rumah pula, tindakan peniaga seperti Roslina pada harga semurah 10 sen itu adalah usaha yang baik untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Kata Dalilah, 65, pertama kali dia berkunjung ke gerai Roslina yang tular di media sosial kerana menjual kuih pada harga 10 sen selepas diajak oleh anaknya.
"Pertama kali datang (sini), anak (mahu datang) tengok, dia kata ada viral cucur (sekupang), dia kata jom ronda-ronda (dan) beli… bila tengok (depan mata), memang ada, betul-betul murah, memang boleh sangat dengan kos sara hidup sekarang ini… tambahan lagi lauk (pula) mahal, bolehlah kalau kita nak makan (buat juadah berbuka)," ujar Dalilah lagi.