Dewan Sekolah Sukan Sri Titiwangsa di sini rosak teruk dalam satu insiden kebakaran pada malam tadi.

Kejadian pada pukul 11 malam itu disedari pengawal keselamatan sekolah yang kebetulan membuat rondaan.

Insiden terbabit turut mengejutkan pelajar berada di asrama berhampiran.

Menurut pasukan bomba, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.30 malam.


Sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, KLCC, Sentul dan Titiwangsa dengan kekuatan 47 anggota dan pegawai berjaya memadamkan api setengah jam kemudian.

Pemeriksaan awal bomba mendapati api bermula di bahagian stor dewan terbabit sebelum merebak ke kawasan bumbung.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.