KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat bagi Penggal Pertama Parlimen ke-15 dijadual bersidang selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Disember ini.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin,  pemilihan Yang di-Pertua akan diadakan pada hari pertama persidangan sebelum diikuti dengan sesi mengangkat sumpah ahli-ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, turut terkandung dalam urusan mesyuarat ialah pemilihan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua.

Usul percaya kepada Perdana Menteri pula disenaraikan sebagai perkara kelapan dalam agenda mesyuarat berkenaan.

"Bagi urusan-urusan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen ke-15, pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan dan jawapan bertulis, pertanyaan-pertanyaan menteri serta usul tidak perlu dikemukakan," demikian nenurut notis yang dikeluarkan kepada ahli-ahli Parlimen, hari ini.
BACA SEMUA BERHUBUNG KERAJAAN PERPADUAN DI SINI
 


Jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika ini disandang oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun, manakala timbalan Yang di-Pertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undi percaya terhadapnya akan tetap dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan langkah itu penting bagi membuktikan keabsahan beliau dari segi persepsi politik, selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 24 November lalu.