KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) 2024 membabitkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM23,479,669,350 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan 2023.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Semalam, RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk kegunaan peruntukan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan iaitu sebanyak RM14,486,540,550, peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun (RM4,204,668,800), Kementerian Pendidikan (KPM) (RM1,973,724,300) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM1,174,138,000).

Peruntukan itu juga adalah bagi Kementerian Kesihatan (KKM) (RM687,892,500), Kementerian Pertahanan (RM410,530,750), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM300,000,000), Jabatan Perkhidmatan Awam (RM153,263,900), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM56,910,550) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) (RM32,000,000).

Terdahulu ketika sesi penggulungan perbahasan RUU itu bagi KBS, Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang membangunkan pelan perniagaan jangka panjang untuk mempergiatkan lagi penganjuran pelbagai acara di lokasi itu.

Beliau berkata pelan perniagaan berkenaan dijangka dibentangkan kepada kementerian pada suku keempat tahun ini.

"Tahun ini (program) Rakan Muda menerima bajet RM20 juta yang menetapkan 10 gaya hidup dan satu daripadanya adalah Rakan Litar. SIC dipertanggungjawab oleh KBS untuk menganjurkan lebih banyak acara bukan sahaja antarabangsa, sebaliknya SIC akan beri ruang kepada belia yang mungkin tidak mampu sewa tempat itu sebelum ini dan kita buka ruang kepada belia masuk ke tempat tersebut.

"Kita sedang lihat modul perniagaan untuk menggunakan (lokasi itu) bagi acara berlainan dan saya juga mengadakan pengenalan SIC dengan duta-duta untuk mereka menyewa bagi mesyuarat korporat kerana banyak fasiliti yang ada (ditawarkan)," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika menggulung perbahasan RUU sama bagi KKM berkata keperluan peruntukan tambahan adalah berikutan kenaikan luar jangkaan harga barangan perubatan farmaseutikal seperti ubatan-ubatan dan vaksin di peringkat global susulan permintaan tinggi selepas pandemik COVID-19.

Beliau berkata harga barangan perubatan farmaseutikal juga melonjak naik setelah produk farmaseutikal dikeluarkan daripada Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL) berikutan tamatnya kontrak konsesi penswastaan makmal ubat dan stor Pharmaniaga pada 30 Jun 2023.

"Sejak luput kontrak, berlaku peningkatan harga yang mendadak hingga lima kali melalui perolehan tender terbuka atau sebut harga. Sebagai contoh kos steroid inhaler mencatat lonjakan harga lebih 50 peratus, vaksin (200 peratus)," katanya.

Beliau juga tidak menolak pertambahan peruntukan itu disebabkan jumlah pesakit yang bertambah di fasiliti kesihatan awam akibat kewujudan wabak tertentu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika menggulung perbahasan RUU itu bagi KPM berkata kementerian berkenaan telah meluluskan pembinaan 26 sekolah baharu pada tahun ini yang akan memanfaatkan lebih 50,000 murid dan 3,000 guru, sebagai usaha mengurangkan kepadatan murid.

Beliau berkata ia merupakan usaha jangka masa panjang kerana kebiasaannya hanya sekitar lapan hingga 10 sekolah baharu akan diluluskan untuk pembinaan setiap tahun.

"KPM juga mengalu-alukan inisiatif pihak swasta untuk membina sekolah menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya daripada yang berdekatan dengan pemaju kawasan perumahan," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA