Ia berikutan keingkarannya mematuhi arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming supaya tidak mengganggu persidangan Dewan.
Isu tercetus lantaran Tajuddin tidak berpuas hati setelah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub tidak menjawab soalannya mengenai inisiatif program, sebaliknya mewakilkan Timbalannya, Sim Tze Tzin.
Akibat daripada tindakan Tajuddin yang tidak henti meluahkan rasa tidak puas hatinya dan memakan masa yang lama, Kor Ming tidak membenarkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu meneruskan peluang bertanyakan soalan tambahan.
Ia sekaligus memuncakkan lagi rasa tidak puas hati Tajuddin hingga perang mulut kedua-dua individu itu berlanjutan hampir 15 minit.
Akhirnya Kor Ming menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 (2) untuk menghalau Tajuddin keluar selama dua hari.
Namun disebabkan masih enggan meninggalkan sidang mesyuarat, Kor Ming memerintahkan tempoh penggantungan itu dari dua hari menjadi empat hari.
Namun, Tajuddin dilihat keluar Dewan Rakyat sekitar jam 11.30 pagi selepas hampir 10 minit ketetapan dibuat Kor Ming.