KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kelima Belas bagi Dewan Rakyat akan berlangsung pada 19 dan 20 Disember 2022.

Ini merupakan sidang Dewan Rakyat pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan secara tradisinya ada beberapa aturan yang perlu disempurnakan pada setiap permulaan sesuatu Parlimen.



Dewan Rakyat | Wan Junaidi nafi isi jawatan Speaker Dewan Rakyat


Apakah maksud ‘Mesyuarat’, ‘Penggal’ dan ‘Parlimen’?

Parlimen merujuk kepada tempoh antara berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga bubar Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU berikutnya.

Lazimnya, dalam tempoh satu Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang sebanyak empat penggal - enam kali bersidang sebanyak lima penggal dan sekali bersidang sebanyak enam penggal (iaitu Parlimen ke-13).

Penggal pula ialah setiap tahun Parlimen bersidang. Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan lima tahun ialah tempoh matang sesuatu parlimen, melainkan ia dibubarkan lebih awal.

Sekiranya masih tidak dibubarkan selepas cukup tempoh matang, maka Parlimen akan terbubar secara automatik.

Maka, bagi Parlimen ke-11 sebagai contoh, Penggal sidangnya hanya empat kali. Ini bermakna Dewan Rakyat bersidang untuk empat tahun (2004-2007).

Manakala bagi Parlimen ke-13, mencatat rekod tersendiri kerana bersidang untuk enam penggal (2013-2018).

Ia masih boleh bersidang untuk tahun keenam (Mac hingga April 2018), memandangkan tarikh akhir sebelum Parlimen tersebut matang adalah pada 23 Jun 2018 - genap lima tahun.

Dalam setiap Penggal akan diadakan beberapa sesi Mesyuarat. Kebiasaanya tiga Mesyuarat dalam satu Penggal.

Pun begitu, Dewan Rakyat pernah juga merekodkan persidangan satu sahaja Mesyuarat dalam satu penggal, contohnya pada Penggal Kedua, Ketiga dan Keempat, Parlimen Keenam (1984-1986).

PEMILIHAN SPEAKER, UNDI PERCAYA DIJADUAL PADA 19 DISEMBER

Bukan itu sahaja, Dewan Rakyat juga boleh bersidang secara Mesyuarat Khas. Dalam sesi ini, biasanya aturan urusan mesyuaratnya adalah spesifik kepada isu tertentu.

Contohnya, Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bersidang selama empat hari hanya menetapkan sesi penerangan oleh menteri-menteri berkaitan berkenaan langkah-langkah kerajaan menangani COVID-19.

Contoh lain, adalah ketika berlakunya tragedi MH17. Dewan Rakyat mengadakan Mesyuarat Khas satu hari pada 23 Julai 2014, yang mana Perdana Menteri membawa usul menzahirkan rasa dukacita seisi Dewan, mengutuk tindakan membedil pesawat MH17 dan menggesa siasatan dijalankan segera.

Justeru, 19 Disember ini sidang Dewan Rakyat disebut sebagai Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kelima Belas.


Siapakah yang menetapkan tarikh dan agenda Mesyuarat?

Tarikh persidangan Dewan Rakyat secara perlembagaannya ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), selaras dengan Perkara 55(1) dan Peraturan Mesyuarat 11(1).

Tarikh dan tempoh yang lebih terperinci akan ditetapkan oleh Ketua Majlis.

Dalam konteks Dewan Rakyat, Ketua Majlis ialah Ketua Kerajaan. Maknanya, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menentukan bilangan hari setiap sidang Dewan Rakyat.

Bahkan, Ketua Majlis juga boleh mengubah tarikh-tarikh tersebut dari semasa ke semasa.

Seterusnya, agenda Mesyuarat dalam Parlimen disebut sebagai Aturan Urusan Mesyuarat (AUM). Yang di-Pertua akan menjalankan aturan ini berdasarkan kepada ketetapan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, atau lebih mudah dikenali sebagai Peraturan Mesyuarat.

Bagi Mesyuarat Dewan yang pertama selepas PRU, Peraturan Mesyuarat menetapkan aturan khusus iaitu Pemasyhuran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Memanggil Parlimen Bermesyuarat, memilih Yang di-Pertua, angkat sumpah wakil rakyat, memilih Timbalan Yang di-Pertua dan usul memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan lalu-lalang kepada ahli-ahli Dewan.

Lanjutan itu, AUM hendaklah mematuhi susunan di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1).

Pun begitu, ia tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 15 yang menetapkan urusan kerajaan hendaklah didahulukan dan urusan tersebut perlu diatur mengikut sebagaimana dipertimbangkan baik pada kerajaan.


Kerajaan, dalam hal ini, boleh merujuk kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis. Ia boleh juga merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) seperti yang ada dalam pentadbiran sebelum ini.

Yang demikian, untuk sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini, melalui surat Setiausaha Dewan Rakyat boleh diperhatikan tujuh item pertama urusan-urusan Mesyuarat adalah selari dengan ketetapan Peraturan Mesyuarat bagi sidang pertama selepas PRU.

Manakala, bagi item kelapan (usul undi percaya) dan kesembilan (Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain) adalah urusan kerajaan yang mesti didahulukan mengikut pertimbangan kerajaan.

BACA LANJUT PENJELASAN MENGENAI UNDI TIDAK PERCAYA DISINI


Adakah undi percaya mesti diusulkan?

Koordinator Penyelidikan Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berpandangan undi percaya ini penting untuk mengelakkan timbulnya keraguan mengenai keabsahan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Walaubagaimanapun, kenyataan ini dibuat dalam konteks pelantikan Perdana Menteri melalui kaedah selain daripada PRU.

Berbeza pula dengan pendapat Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Katanya, memandangkan keabsahan seseorang perdana menteri itu wujud apabila beliau telah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani Surat Cara Pelantikan, maka tidak perlu lagi kepada undi percaya.

Kedudukan usul undi percaya dalam perundangan negara dijelaskan oleh Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Prof Datuk Shamrahayu Abd Aziz.

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan dan negeri serta Peraturan Mesyuarat tidak mempunyai peruntukan khusus berkenaan prosedur bagi menentukan kepercayaan atau hilangnya kepercayaan kepada kerajaan.

BACA: Undi tidak percaya terhadap Muhyiddin umpama tidak percaya terhadap Agong - Hadi Awang

BACA SEMUA BERHUBUNG KERAJAAN PERPADUAN DI SINI


Kenapa Agong tak rasmikan sidang kali ini?

Ya, secara amalannya Istiadat Pembukaan Majlis Parlimen akan disempurnakan oleh YDPA pada setiap permulaan Penggal.

Ketika istiadat ini baginda akan menyampaikan titah yang mengandungi garis-garis besar dasar dan perancangan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan baginda.

Mengimbau kembali perjalanan istiadat ini pada pembukaan Penggal Pertama Parlimen Ke-13 dan Ke-14, ia dilangsungkan pada hari kedua Mesyuarat.

Berdasarkan rekod Parlimen, bagi Parlimen ke-12 pula, YDPA hanya merasmikan pembukaan Parlimen bermula Penggal Ketiga.

Kembali kepada sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan bahawa, Istiadat Pembukaan Majlis Parlimen oleh YDPA akan dilangsungkan pada tahun depan.

Dalam sesi Mesyuarat yang sama juga, Belanjawan 2023 akan turut dibentangkan.