AYER KEROH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menempelak dakwaan kononnya perjumpaan pemimpin UMNO yang dilakukan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencampuri urusan kehakiman.

Malah, tegas beliau, desakan seumpama itu hanya akan memberi imej negatif kepada kerajaan yang diterajui oleh UMNO.

“Kita tidak pernah mendesak Perdana Menteri campur tangan urusan Datuk Seri Najib (dan), that is wrong perception (itu tanggapan salah).

“Kalau pun berlaku perkara (desakan) itu kita (Ketua Bahagian UMNO) tidak akan beri sokongan kerana kerajaan yang diterajui UMNO ini mesti tidak nampak mencampuri urusan mahkamah.

“Kita tidak pernah bincangkan pun soal itu, apa yang dibincangkan adalah lebih kepada pilihan raya, persediaan hadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke -65 dan Hari Malaysia 2022 di perkarangan PKNM, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, perjumpaan yang diadakan semalam bukan perjumpaan tergempar dan hanya membincangkan soal persediaan bagi menghadapi PRU15.

“Biasanya parti boleh panggil bila-bila masa apabila memerlukan maklumat daripada negeri dan bahagian. Cumanya, suasana kebetulan (sibuk) dengan isu semasa yang begitu hangat dan ini telah ditafsir dalam pelbagai sudut berbeza.

“(Perjumpaan) semalam kita cuma mahu pastikan bahawa semua jentera pilihan raya seluruh negara bersedia hadapi PRU yang mungkin berlaku bila-bila masa dan kesiapsiagaan ini memberikan satu petunjuk kepada pucuk pimpinan dalam mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRU15," jelas Ab Rauf lagi.

Sementara itu, ketika ditanya soal gabungan politik baharu bagi menghadapi PRU15, beliau berkata, perkara itu hanya akan dibincangkan selepas pilihan raya itu selesai diadakan.