Kejadian yang menimpa murid sekolah rendah itu dikongsikan oleh ibunya, Azera Yazid, 36 menerusi platform akaun TikToknya, @azera5276.
Menurut perkongsian tersebut, kehidupan mereka sekeluarga berubah 360 darjah selepas insiden yang berlaku pada tahun lalu itu, selain turut memberi kesan kepada perkembangan anaknya.
Azera berkata, keadaan anaknya, Puteri Nor Atiqah atau dipanggil sebagai Kak Iqa itu kini masih lagi perlu menjalani rawatan dan selalu dimasukkan wad sekiranya diperlukan.
“Disebabkan jatuh tempoh hari, Kak Iqa mengalami patah tulang coccyx, ‘disc bulge’ dan ‘bone bruise’.
“Keadaan Kak Iqa sekarang ini masih lagi memerlukan rawatan dan dia juga ada gangguan emosi, maksudnya kesan trauma itu masih ada.
"Dia trauma akibat insiden itu, sebab dia jadi takut untuk bertemu dengan orang lain.
“Hubungan Kak Iqa dengan adik beradik sekarang pun sudah kurang, dia banyak duduk dalam bilik dia sendiri sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, ujar Azera, dia berharap agar keadaan kesihatan anak sulungnya itu bertambah baik dan dapat pulih sepenuhnya.
“Buat masa sekarang, kes ini sedang berjalan di mahkamah.
“Saya harap dia makin okay tetapi yang paling penting adalah emosi dia. Sebab harap dia dapat tenangkan dirinya,” ujarnya. - Sinar Harian