Individu yang didapati bersalah yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan berita atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar boleh dikenakan denda RM500,000 atau 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Ia merupakan sebahagian daripada 14 fasal yang terkandung dalam Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Manakala pihak yang memiliki berita tidak benar namun tidak menghapuskannya, boleh didenda sehingga RM100,000.

Malah, jika kesalahan itu dilakukan secara berterusan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu.

RUU itu bukan saja terpakai kepada rakyat Malaysia, malah warga asing jika berita tidak benar yang disebarkan itu adalah mengenai Malaysia atau menyentuh rakyat negara ini.

Fasal 2 RUU itu pula mentakrifkan berita tidak benar sebagai berita, maklumat, data dan laporan palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Menerusi RUU itu juga, mahkamah boleh memerintahkan individu yang disabitkan kesalahan tersebut untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terkesan akibat berita palsu tersebut mengikut cara yang ditentukan mahkamah.

Selain itu, individu yang bersubahat termasuk menyalurkan dana kewangan dan memudahkan penyebaran berita tidak benar tersebut turut boleh dikenakan hukuman sama seperti pesalah.

RUU itu turut merangkumi kesalahan sama yang dilakukan pertubuhan perbadanan, dengan pihak seperti pengarah, ketua pegawai eksekutif, pengurus atau seumpamanya, boleh dihadapkan ke mahkamah.