KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 kali ke-5.


Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal anjur Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 untuk kali ke-5 selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Jun ini.
  • Pertandingan dianjur dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR).
  • Sebanyak 40 pasukan membabitkan 160 peserta daripada universiti awam, universiti swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), Institusi Pendidikan MARA (IPMa), politeknik, serta Kolej Komuniti telah mengesahkan penyertaan.
  • Objektif pertandingan ialah membentuk mahasiswa agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan berani menyuarakan pendapat berkenaan isu rasuah serta salah guna kuasa.


Pertandingan dianjur dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR). 

Sebanyak 40 pasukan membabitkan 160 peserta daripada universiti awam, universiti swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), Institusi Pendidikan MARA (IPMa), politeknik, serta Kolej Komuniti telah mengesahkan penyertaan.

Sambutan menggalakkan ini menunjukkan penglibatan serius penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari segi penerimaan mesej antirasuah melalui pertandingan ini.

Pertandingan akan berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Jun ini bagi pusingan awal, suku akhir, dan separuh akhir.

Manakala, pertandingan akhir akan dilangsungkan di Undercroft, Kompleks Canselor, Universiti Teknologi PETRONAS, Seri Iskandar, Perak.

Pertandingan akhir akan disiarkan secara langsung di platform media sosial Astro AWANI di Facebook, Twitter dan YouTube serta DBP, SPRM, dan UTP.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong berkata objektif pertandingan tersebut ialah membentuk mahasiswa agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan berani menyuarakan pendapat berkenaan isu rasuah serta salah guna kuasa.

Dalam masa sama, ujarnya, ia bagi mewujudkan mahasiswa yang mengangkat nilai amanah dan ketelusan sebagai salah satu nilai teras.

Pertandingan debat antirasuah kali ini menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dengan format debat ala Parlimen atau Asian Parliamentary Debate.

Umumnya, format pertandingan ini menemukan dua buah pasukan terdiri daripada Pencadang/Kerajaan dan Pembangkang yang terdiri daripada tiga pendebat utama dan satu pendebat simpanan. 

Seramai 60 orang juri yang akan mengadili debat ini adalah mereka yang pakar dalam seni pengucapan awam, gaya bahasa, serta isu-isu semasa berkaitan rasuah.

Antara juri yang akan mengadili pertandingan ini adalah daripada MADUM, DBP, serta SPRM.