KUALA LUMPUR:Polis sedang mengesan saki-baki anggota sebuah kumpulan yang giat melakukan kegiatan pengubahan wang haram dan dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan Macau Scam serta judi dalam talian.

Mereka yang diburu termasuk seorang ahli perniagaan yang dipercayai melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kumpulan tersebut bagi kes berkaitan pengubahan wang haram.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, pihaknya juga telah menggerakkan satu operasi khas bagi mengesan saki-baki kumpulan tersebut.

"Kita yakin individu tersebut dan suspek lain akan dapat ditahan semula dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

BACA: Peringatan buat selebriti dan ahli perniagaan, jangan sampai SPRM 'jemput' - Azam

Media sebelum ini melaporkan seorang suspek berusia 32 tahun yang didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri palsu dipercayai melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Sindiket tersebut dipercayai melakukan pelbagai kegiatan haram seperti pengubahan wang haram, sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian dan boleh didakwa di bawah pelbagai peruntukan perundangan.

Isnin lalu, Mahkamah Kuala Lumpur menolak permohonan reman oleh polis ke atas tiga individu yang sebelum ini ditahan SPRM berhubung kegiatan pengubahan haram didalangi sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian.

BACA: Datuk Seri, dua polis ditahan reman 21 hari di bawah POCA

BACA: SPRM tahan dua pegawai polis kes judi, Macau Scam

BACA: Pengurusan sahkan Shuib Sepahtu, Sarah dipanggil SPRM


Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka ditahan semula bagi membantu siasatan berhubung satu lagi kes perjudian haram yang dilaporkan berlaku di Cheras.

"Siasatan terhadap tiga individu yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) menjurus kepada pembabitan dalam kegiatan judi dalam talian haram," katanya lagi.

Sebelum ini SPRM menahan reman sembilan individu termasuk dua anggota polis berhubung siasatan pengubahan wang haram dan Macau Scam namun dibebaskan dengan jaminan.

Bagaimanapun, lapan daripada mereka kemudian ditahan semula Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk siasatan lanjut.