KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang ahli perniagaan daripada tiga pertuduhan menipu kenalannya berhubung urusan pembayaran tunggakan hutang cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2021 dan 2022.

Hakim Datuk Anita Harun memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap Datuk Seri Azraie Jamaludin, 47, di akhir kes pembelaan.

"Setelah mahkamah mendengar keterangan daripada tertuduh serta meneliti dokumen-dokumen kes ini, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Azraie didakwa telah menipu Ahmad Rahimi Ahmad Fauzan dengan memperdayakannya bagi menyelesaikan urusan pembayaran tunggakan hutang cukai LHDN sehingga mendorong dia menyerahkan wang berjumlah RM1.25 juta melalui akaun bank milik tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdaya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Bukit Kiara 1, Bukit Kiara di sini antara 30 Sept 2021 dan 6 Jan 2022 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Empat saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 19 Jan lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi manakala Azraie diwakili peguam D.Yasinthra.

-- BERNAMA