Penyanyi era 80-an Datuk Nassier Wahab meninggal dunia kira-kira jam 12.45 pagi Khamis di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya, lapor Astro Gempak.

Berita tersebut dikongsi rakan karib Allahyarham, Zur Eda yang juga teman seangkatannya dalam industri hiburan tanah air menerusi perkongsian di aplikasi Whatsapp.

“Innalillahi-wainnaillah-hirojiun... Dukacita dimaklumkan Datuk Haji Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya terakhir pada pukul 12.45 pagi di UMSC.

“Mohon sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh para solihin,” tulisnya ringkas.



Sementara itu, seorang lagi teman seangkatan Nassier dari zaman popularnya, iaitu Azizul Khamis turut berkongsi khabar duka itu menerusi akaun laman sosialnya.

"Allahu Akbar. Al-Fatihah dengan bacaan untuk sahabat saya... Dato’ Nassier Wahab baru saja menghembuskan nafas terakhirnya malam ini tadi."

"Al-Fatihah.. Semoga rohnya tenang di sana," kata Azizul menerusi hantaran Facebook.


Pada 1 Jun lalu, Nassier, 57, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kirinya, setelah mengalami kesakitan sejak lima tahun lalu di bahagian gusi.

Selepas pembedahan tersebut, penyanyi lagu Sekali Aku Jatuh Cinta itu berehat buat satu tempoh sementara tahap kesihatannya kembali pulih.

Terdahulu, pada April 2018, Nassier pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.

Allahyarham pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kedua pada tahun 2015, dan berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan.

Allahyarham juga pernah menjadi salah seorang selebriti jemputan untuk membacakan berita Komuniti AWANI, program yang menyampaikan kisah-kisah masyarakat di Astro AWANI.